[Terma & Syarat] Peraduan Beli & Menang Sempena Ulangtahun Mak'Cik yang ke-45

[Terma & Syarat] Peraduan Beli & Menang Sempena Ulangtahun Mak'Cik yang ke-45

Table of Contents

    1. Tempoh Kempen

    1.1 Kempen “Raikan Ulang Tahun Ke-45 Mak'Cik®” ("Kempen") dianjurkan oleh Sydney Cake House Sdn. Bhd. ("Syarikat") dan akan berlangsung dari 7 Ogos 2026 hingga 4 Oktober 2026, jam 11:59 malam.

    1.2 Syarikat berhak, atas budi bicara mutlaknya, untuk melanjutkan, memendekkan atau meminda Tempoh Kempen pada bila-bila masa tanpa memberikan notis terlebih dahulu.

     

    2. Kelayakan

    2.1 Kempen ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan penduduk tetap di Malaysia yang berumur lapan belas (18) tahun dan ke atas pada 7 Ogos 2026 ("Peserta").

    2.2 Kakitangan Syarikat yang terlibat dalam penganjuran atau pengurusan Kempen ini, serta ahli keluarga terdekat mereka (termasuk pasangan, ibu bapa, ibu bapa mentua, anak-anak, adik-beradik dan pasangan masing-masing), adalah tidak layak untuk menyertai Kempen ini.

    2.3 Syarikat berhak untuk meminta bukti pengenalan diri serta mengecualikan atau membatalkan kelayakan mana-mana Peserta yang tidak memenuhi syarat kelayakan dan/atau melanggar mana-mana Terma dan Syarat ini.

     

    3. Mekanisme Kempen

    3.1 Saluran Platfom Jualan yang Mengambil Bahagian

    Kempen ini boleh disertai melalui saluran platfom rasmi Mak'Cik® seperti berikut ("Platfom Penyertaan"):

    Kiosk Kek Mak'Cik® di seluruh Malaysia

    Laman Web Rasmi Mak'Cik®

    Laman Rasmi Mak'Cik® di Shopee

    Laman Rasmi Mak'Cik® di Lazada

    Laman Rasmi Mak'Cik® di TikTok Shop

    Syarikat berhak untuk menetapkan platfom jualan rasmi Mak'Cik® yang lain sebagai Platfom Penyertaan sepanjang Tempoh Kempen. Sebarang platfom yang ditetapkan sedemikian hendaklah dianggap sebagai sebahagian daripada Platfom Penyertaan bagi Kempen ini.

     

    3.2 Penyertaan yang Layak

    3.2.1 Setiap Resit, iaitu satu (1) resit yang membuktikan pembelian minimum produk Mak'Cik® bernilai RM25 dalam satu (1) transaksi di mana-mana Saluran Jualan yang Mengambil Bahagian sepanjang Tempoh Kempen, melayakkan Peserta menerima satu (1) penyertaan, tertakluk kepada penghantaran penyertaan mengikut Klausa 3.3. Gabungan beberapa resit atau transaksi berasingan untuk memenuhi syarat pembelian minimum adalah tidak dibenarkan.

    3.2.2 Peserta boleh menghantar lebih daripada satu (1) penyertaan sepanjang Tempoh Kempen dengan mengemukakan Resit yang berasingan dan mestilah berkaitan pembelian yang memenuhi syarat sebagaimana diperuntukkan dalam Klausa 3.2.1.

     

    3.3 Penghantaran Penyertaan

    3.3.1 Setiap Resit hanya boleh dihantar sekali sahaja melalui salah satu (1) daripada kaedah penyertaan yang disediakan oleh Syarikat seperti berikut. Penghantaran Resit yang sama melalui lebih daripada satu kaedah penyertaan atau penghantaran berulang menggunakan kaedah penyertaan yang sama akan dianggap sebagai penyertaan berganda. Syarikat berhak untuk membatalkan kelayakan semua penyertaan yang berkaitan.

     

    (a) Kotak Penyertaan Resit di Kiosk Kek Mak'Cik®

    Peserta hendaklah menulis maklumat berikut dengan jelas di bahagian belakang Resit asal sebelum memasukkannya ke dalam Kotak Penyertaan Resit yang disediakan:

    Nama Penuh (seperti dalam MyKad)

    Nombor MyKad (IC)

    Nombor Telefon

    Hanya Resit asal akan diterima.

     

    (b) Penyertaan Dalam Talian melalui Kod QR

    Peserta boleh mengimbas Kod QR Kempen yang dipaparkan pada bahan-bahan Kempen di Saluran Platfom yang Mengambil Bahagian untuk mengakses borang penyertaan dalam talian.

     

    Peserta hendaklah melengkapkan semua maklumat yang diperlukan dalam borang penyertaan dalam talian serta memuat naik imej yang jelas bagi Resit asal sebagai bukti pembelian. Peserta bertanggungjawab memastikan semua maklumat yang dikemukakan adalah benar, tepat, lengkap dan jelas.

     

    Peserta yang menghantar penyertaan secara dalam talian hendaklah menyimpan Resit asal untuk tujuan pengesahan. Syarikat berhak meminta Resit asal serta sebarang dokumen sokongan pada bila-bila masa sebelum penyerahan hadiah bagi tujuan mengesahkan kelayakan Peserta dan kesahihan penyertaan. Kegagalan mengemukakan Resit asal atau dokumen sokongan yang diperlukan dalam tempoh yang ditetapkan oleh Syarikat boleh menyebabkan penyertaan tersebut terbatal.

     

    Sekiranya Peserta mengalami masalah teknikal semasa memuat naik Resit Layak atau melengkapkan proses penyertaan dalam talian, Peserta boleh, jika munasabah, mengemukakan maklumat yang diperlukan melalui e-mel kepada makcik.marketing@gmail.com. E-mel tersebut hendaklah mengandungi:

     

    Nama Penuh (seperti dalam MyKad);

    Nombor MyKad;

    Nombor Telefon; dan

    Imej yang jelas bagi Resit Layak asal.

    Syarikat berhak mengesahkan ketulenan mana-mana penyertaan yang dihantar melalui e-mel dan boleh meminta Peserta mengemukakan Resit asal atau dokumen sokongan lain untuk tujuan pengesahan. Kegagalan mematuhi permintaan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan oleh Syarikat boleh menyebabkan penyertaan tersebut terbatal.

     

    3.3.2 Syarikat berhak mengesahkan ketulenan mana-mana Resit dan kesahihan mana-mana penyertaan pada bila-bila masa. Syarikat boleh, atas budi bicara mutlaknya, membatalkan kelayakan mana-mana penyertaan yang:

    mengandungi maklumat yang tidak lengkap, tidak tepat atau palsu;

    Resit Layak yang telah diubah suai, dipalsukan, diduplikasi, diusik atau tidak dapat dibaca;

    diterima selepas Tempoh Kempen;

    berkaitan dengan pembelian yang telah dibatalkan atau dipulangkan;

    gagal melalui proses pengesahan Syarikat; atau

    melanggar mana-mana Terma dan Syarat ini.

     

    4. Hadiah & Pemilihan Pemenang

    4.1 Hadiah Bulanan

    4.1.1 Dua (2) Cabutan Hadiah Bulanan akan diadakan sepanjang Tempoh Kempen, dengan sejumlah enam puluh (60) pemenang Hadiah Bulanan akan dipilih berdasarkan tempoh pembelian yang layak seperti berikut:

     

    (a) Cabutan Hadiah Bulanan Ogos

    Tempoh Pembelian yang Layak: 7 Ogos 2026 hingga 6 September 2026

    Bilangan Pemenang: Tiga Puluh (30)

    Hadiah: PIN Tambah Nilai Touch 'n Go eWallet bernilai RM20 bagi setiap pemenang

     

    (b) Cabutan Hadiah Bulanan September

    Tempoh Pembelian yang Layak: 7 September 2026 hingga 4 Oktober 2026

    Bilangan Pemenang: Tiga Puluh (30)

    Hadiah: PIN Tambah Nilai Touch 'n Go eWallet bernilai RM20 bagi setiap pemenang

     

    4.1.2 Setelah dipilih sebagai pemenang Hadiah Bulanan, semua penyertaan yang layak yang telah dihantar oleh Peserta sehingga dan termasuk Cabutan Hadiah Bulanan yang berkaitan akan dianggap telah digunakan dan tidak lagi layak untuk menyertai mana-mana Cabutan Hadiah Bulanan berikutnya atau Cabutan Hadiah Utama.

     

    Walau bagaimanapun, Peserta boleh terus menyertai Kempen dengan mengemukakan Resit baharu yang memenuhi syarat Kempen shingga tamat Tempoh Kempen. Sebarang penyertaan yang diperoleh daripada Resit baru tersebut akan kekal layak untuk Cabutan Hadiah Bulanan berikutnya dan, sekiranya tidak dipilih sebagai pemenang Hadiah Bulanan, akan turut layak untuk Cabutan Hadiah Utama.

     

    4.2 Hadiah Utama

    Seorang (1) pemenang Hadiah Utama akan menerima satu (1) baucar percutian bernilai RM1,000 yang dikeluarkan oleh Sedunia Travel, bagi perjalanan dalam Malaysia sahaja.

     

    Pemenang Hadiah Utama akan dipilih daripada semua penyertaan yang masih kekal layak selepas selesai semua Cabutan Hadiah Bulanan. Penyertaan yang telah dipilih sebagai pemenang Hadiah Bulanan tidak lagi layak untuk menyertai Cabutan Hadiah Utama.

     

    Pemenang hendaklah menebus baucar percutian tersebut secara terus dengan Sedunia Travel. Sebaik sahaja baucar percutian diserahkan kepada pemenang, segala tanggungjawab Syarikat berhubung dengan Hadiah Utama adalah dianggap telah dipenuhi sepenuhnya. Selepas itu, semua perkara berkaitan penebusan, tempahan, pelaksanaan dan pengurusan baucar pelancongan adalah tertakluk kepada Terma dan Syarat Sedunia Travel yang berkuat kuasa.

     

    Sekiranya terdapat sebarang percanggahan antara Terma dan Syarat ini dengan Terma dan Syarat Sedunia Travel yang berkuat kuasa berhubung penebusan dan penggunaan baucar percutian, maka Terma dan Syarat Sedunia Travel yang berkuat kuasa hendaklah diguna pakai bagi tujuan penebusan dan penggunaan baucar percutian tersebut.

     

    Baucar percutian hanya boleh ditebus untuk produk dan perkhidmatan pelancongan yang layak yang ditawarkan oleh Sedunia Travel, termasuk penginapan hotel, tiket penerbangan dan pakej pelancongan. Semua tempahan hendaklah dibuat, dan harga yang dikenakan akan ditentukan berdasarkan sistem tempahan serta kadar harga Sedunia Travel yang berkuat kuasa pada masa penebusan, tertakluk kepada ketersediaan.

     

    Syarat-syarat berikut adalah terpakai kepada baucar percutian:

    (a) Baucar adalah sah untuk tempoh dua belas (12) bulan dari tarikh ia dikeluarkan oleh Sedunia Travel. Oleh itu, tempoh sah yang masih berbaki untuk digunakan oleh pemenang mungkin kurang daripada dua belas (12) bulan, bergantung pada tarikh baucar tersebut diserahkan kepada pemenang.

    (b) Penebusan baucar hendaklah dibuat sekurang-kurangnya satu (1) bulan sebelum tarikh perjalanan yang dirancang.

    (c) Baucar hanya sah untuk satu (1) transaksi penebusan sahaja. Semua produk dan perkhidmatan pelancongan yang boleh ditebus menggunakan baucar tersebut hendaklah ditempah dalam satu transaksi yang sama. Baucar tidak boleh dipecahkan untuk digunakan bagi perjalanan, tarikh perjalanan atau tempahan yang berasingan.

    (d) Sebarang baki nilai baucar yang tidak digunakan akan luput dan tidak akan dipulangkan, dikreditkan atau dibawa ke hadapan.

    (e) Sekiranya jumlah nilai tempahan melebihi nilai baucar, pemenang hendaklah menanggung sendiri perbezaan tersebut secara terus kepada Sedunia Travel.

    (f) Baucar tidak boleh dipindah milik, tidak boleh dikembalikan dan tidak boleh ditukar dengan wang tunai.

    (g) Sebarang kos atau perbelanjaan yang tidak dilindungi oleh baucar, termasuk tetapi tidak terhad kepada SST, cukai atau fi kerajaan tempatan, insurans perjalanan serta caj-caj lain yang berkaitan, hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh pemenang melainkan dinyatakan sebaliknya.

    (h) Baucar tidak akan diganti atau dibayar balik sekiranya hilang, dicuri, rosak atau telah tamat tempoh sah.

     

    4.3 Pemilihan Pemenang

    4.3.1 Semua penyertaan yang layak yang diterima melalui kaedah penyertaan yang ditetapkan oleh pihak Syarikat akan digabungkan ke dalam satu kumpulan penyertaan untuk cabutan hadiah. Pemenang akan dipilih secara cabutan rawak daripada kumpulan penyertaan layak tersebut.

     

    4.3.2 Cabutan Hadiah Bulanan dan Cabutan Hadiah Utama dijangka akan dijalankan dalam tempoh satu (1) bulan selepas berakhirnya tempoh penyertaan masing-masing. Selepas cabutan yang berkaitan dijalankan, pemenang akan diumumkan melalui saluran media sosial rasmi Syarikat dan akan dihubungi menggunakan maklumat yang diberikan semasa penyertaan dalam tempoh empat belas (14) hari bekerja.

     

    Sekiranya pemenang tidak dapat dihubungi, gagal memberikan maklum balas dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh pemberitahuan, atau didapati tidak layak, Syarikat berhak membatalkan kelayakan pemenang tersebut dan memilih pemenang pengganti melalui cabutan rawak daripada baki penyertaan yang layak. Pemenang pengganti adalah tertakluk kepada proses pengesahan yang sama serta Terma dan Syarat ini.

     

    4.3.3 Pemenang hendaklah mengemukakan dokumen berikut bagi tujuan pengesahan dan penyerahan hadiah:

    MyKad;

    Resit pembelian asal atau bukti pembelian lain; dan

    Sebarang maklumat tambahan atau dokumen sokongan yang munasabah diminta oleh Syarikat.

    Kegagalan mengemukakan dokumen atau maklumat yang diperlukan dalam tempoh yang ditetapkan oleh Syarikat boleh menyebabkan hadiah tersebut dilucuthakkan. Dalam keadaan sedemikian, Syarikat berhak membatalkan kelayakan pemenang dan memilih pemenang pengganti mengikut Klausa 4.3.2.

     

    4.3.4 Segala keputusan Syarikat berhubung pemilihan pemenang adalah muktamad, konklusif dan mengikat. Sebarang surat-menyurat, rayuan atau pertanyaan berhubung keputusan tersebut tidak akan dilayan.

     

    4.4 Syarat Am Hadiah

    Syarikat berhak menggantikan mana-mana hadiah Kempen dengan hadiah lain yang mempunyai nilai yang setara atas budi bicara mutlaknya tanpa memberikan notis terlebih dahulu. Semua hadiah tidak boleh dipindah milik, tidak boleh ditukar dengan hadiah lain dan tidak boleh ditebus dalam bentuk wang tunai.

     

    5. Terma dan Syarat Am

    5.1 Penerimaan

    Dengan menyertai Kempen ini, Peserta adalah dianggap telah membaca, memahami dan bersetuju untuk terikat dengan Terma dan Syarat ini serta segala keputusan yang dibuat oleh Syarikat.

     

    5.2 Data Peribadi

    Dengan menyertai Kempen ini, Peserta telah memberikan persetujuan kepada Syarikat untuk mengumpul, memproses dan menggunakan data peribadi mereka bagi tujuan menguruskan Kempen, mengesahkan pemenang, penyerahan hadiah serta tujuan pengiklanan dan publisiti yang berkaitan dengan Kempen, selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Notis Privasi Syarikat yang boleh didapati di https://makcik.com/.

     

    Syarikat tidak akan berkongsi maklumat peribadi Peserta dengan mana-mana pihak ketiga melainkan Peserta telah memberikan persetujuan terlebih dahulu.

     

    Peserta boleh menarik balik persetujuan mereka pada bila-bila masa dengan menghubungi Syarikat melalui e-mel di makcik.marketing@gmail.com.

     

    5.3 Publisiti

    Dengan menyertai Kempen ini, Peserta bersetuju bahawa Syarikat boleh menggunakan nama, gambar, rakaman video, imej dan rupa diri mereka bagi tujuan publisiti dan tanpa notis lanjut atau sebarang bayaran pampasan.

     

    5.4 Penipuan atau Salah Laku

    Syarikat berhak menolak atau membatalkan kelayakan mana-mana Peserta yang disyaki secara munasabah terlibat dalam penipuan, ketidakjujuran, manipulasi Kempen, mengemukakan dokumen atau resit yang palsu, dipalsukan atau diubah suai, penyalahgunaan proses penyertaan, atau apa-apa perlakuan lain yang bertujuan menjejaskan kelancaran dan keadilan pelaksanaan Kempen. Keputusan Syarikat berhubung perkara tersebut adalah muktamad.

     

    5.5 Tanggungjawab Peserta/Pemenang

    Peserta dan pemenang hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas sebarang kecederaan, kerugian, tuntutan atau kerosakan yang timbul akibat penyertaan dalam Kempen ini atau penerimaan Hadiah.

     

    5.6 Isu Teknikal

    Syarikat tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kelewatan, kegagalan, penghantaran penyertaan yang tidak berjaya atau kehilangan penyertaan yang berpunca daripada gangguan internet, kegagalan sistem atau kerosakan teknikal.

     

    5.7 Perubahan Kempen

    Syarikat berhak meminda, mengubah, menambah atau memansuhkan mana-mana Terma dan Syarat ini, atau membatalkan, menggantung atau menamatkan Kempen pada bila-bila masa atas budi bicara mutlaknya tanpa memberikan notis terlebih dahulu. Peserta dan pemenang tidak berhak menuntut sebarang pampasan atas apa-apa kerugian yang timbul akibat perubahan tersebut.

     

    5.8 Tanggungjawab Berkaitan Hadiah

    Syarikat tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan, kerosakan atau kecacatan yang berkaitan dengan mana-mana Hadiah setelah Hadiah tersebut diterima atau diserahkan kepada pemenang.

     

    5.9 Had Liabiliti

    Syarikat tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian, kerosakan, kecederaan atau perbelanjaan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, yang timbul daripada penyertaan dalam Kempen ini atau penerimaan atau penggunaan mana-mana Hadiah.

     

    5.10 Force Majeure (Keadaan di Luar Kawalan)

    Syarikat tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kegagalan melaksanakan tanggungjawabnya yang disebabkan oleh keadaan di luar kawalan munasabahnya, termasuk tetapi tidak terhad kepada bencana alam, pandemik, rusuhan, mogok, peperangan, tindakan kerajaan atau kejadian luar jangka yang lain.

     

    5.11 Indemniti

    Peserta dan/atau pemenang bersetuju untuk menanggung rugi dan melepaskan Syarikat serta rakan sekutunya daripada sebarang tuntutan, kerugian, ganti rugi, liabiliti, kos dan perbelanjaan (termasuk fi guaman yang munasabah) yang timbul akibat:

     

    (a) pelanggaran Terma dan Syarat ini oleh mereka;

    (b) sebarang tindakan atau peninggalan yang bersifat penipuan, menyalahi undang-undang atau kecuaian yang dilakukan oleh mereka berkaitan dengan Kempen; atau

    (c) sebarang pelanggaran hak mana-mana pihak ketiga yang timbul daripada penyertaan mereka dalam Kempen ini.

     

    5.12 Maklumat Perhubungan

    Sebarang pertanyaan berkaitan Kempen ini boleh dikemukakan melalui:

    E-mel: makcik.marketing@gmail.com

    Tel: +6012-930 8130

     

    5.13 Undang-undang yang Mentadbir

    Terma dan Syarat ini adalah tertakluk kepada undang-undang Malaysia. Dengan menyertai Kempen ini, Peserta bersetuju untuk tertakluk kepada bidang kuasa eksklusif mahkamah-mahkamah di Malaysia.